DR Noorul Ainur menyampaikan Anugerah Tuanku Canselor UCYP kepada Nur Fatinhani sambil diperhatikan ibu baoanya di Majlis Konvensyen UCYP dan Kolej Yayasan Pahang (KYP). FOTO MOHD RAFI MAMAT
DR Noorul Ainur menyampaikan Anugerah Tuanku Canselor UCYP kepada Nur Fatinhani sambil diperhatikan ibu baoanya di Majlis Konvensyen UCYP dan Kolej Yayasan Pahang (KYP). FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat
[email protected]metro.com.my


Kuantan: Enam Anugerah Dekan berturut-turut diterima menjadi kelebihan kepada Nur Fatinhani Muhamad Rizuan untuk meraih Anugerah Tuanku Canselor Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) sempena Majlis Konvensyen UCYP dan Kolej Yayasan Pahang (KYP) di Dewan UCYP kampus Tanjung Lumpur, di sini, kelmarin.

Anugerah disampaikan Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP, Tan Seri Profesor Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Nur Fatinhani, 22, penuntut Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak berkata, minat mendalam kepada kanak-kanak menjadi pendorong kuat kepadanya untuk belajar hingga berjaya meraih anugerah dekan pada setiap semester.

Katanya, kehidupan dalam keluarga besar serta memikul tugas menjaga adik turut menjadi kelebihan kepadanya menghayati peranan sebagai pengasuh kanak-kanak yang memerlukan pengorbanan dan kesabaran pada tahap tertinggi.

"Selain minat, disiplin tinggi dalam mengulang kaji pelajaran menjadi rahsia kejayaan, setiap hari saya teringatkan pengorbanan dan harapan menggunung mak dan ayah untuk melihat saya berjaya dalam akademik.

"Saya berharap kejayaan membanggakan hari ini dapat membalas jasa dan pengorbanan mak, Yusmawati Che Mat, 44 dan ayah, Muhamad Riduan Ismail, 49 yang bekerja sebagai pemandu lori," katanya yang berasal dari Kampung Luit, Maran.

Menurutnya, keputusan memilih Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak turut mendapat sokongan keluarga yang membantu dalam pelbagai perkara.

Katanya, dia kini sedang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UCYP dan selepas tamat pengajian, bercita-cita membuka taman asuhan kanak-kanak (taska) berkeperluan khas.

"Saya berhasrat untuk membuka taska keperluan khas yang lengkap kerana memikirkan tempat golongan terbabit begitu terhad selain ingin bantu ibu bapa yang mempunyai anak istimewa.

"Saya sentiasa berdoa berharap impian berkenaan menjadi kenyataan suatu hari nanti," kata anak ketiga daripada 10 beradik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 10:59 AM