ANGGOTA bomba memotong cincin perak yang tersekat di jari seorang pelajar, malam tadi. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba memotong cincin perak yang tersekat di jari seorang pelajar, malam tadi. FOTO ihsan bomba.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua terpaksa menahan sakit beberapa jam selepas sebentuk cincin perak dipakainya tersekat di jari manis.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan Mohd Syazwan Saidy berkata, pelajar itu bersama ibunya datang ke BBP Seremban 2 untuk mendapatkan khidmat khas memotong cincin pada 10 malam tadi.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Bomba membuat penyelamatan memotong cincin itu menggunakan peralatan khas.

"Kami mengambil masa 30 minit memotong cincin itu serta membuat pra-rawatan sebelum menamatkan operasi pada 10.30 malam," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada ibu mangsa, anaknya itu membeli tiga bentuk cincin perak menerusi jualan dalam talian.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku petang semalam apabila anaknya itu teruja untuk mencuba satu persatu cincin perak berkenaan.

"Bagaimanapun, sebaik mencuba cincin kedua, ia tidak boleh ditanggalkan sehingga menyebabkan jarinya mula membengkak lalu mendapatkan bantuan khidmat khas bomba malam tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 11:11 AM