X
LELAKI memanjat siling rumah untuk menyorok daripada anggota penguat kuasa JAIK kerana berkhalwat. FOTO ihsan JAIK
LELAKI memanjat siling rumah untuk menyorok daripada anggota penguat kuasa JAIK kerana berkhalwat. FOTO ihsan JAIK
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang lelaki memanjat siling rumah di taman perumahan di Jalan Alor Mengkudu, di sini, untuk mengelak daripada dicekup berkhalwat, hari ini.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 55 tahun itu gagal apabila dikesan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) yang melakukan pemeriksaan di rumah itu pada 1.10 pagi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, lelaki yang berstatus suami orang itu tidak memberi kerjasama ketika diminta membuka pintu.

Beliau berkata, pihaknya meminta bantuan anggota polis peronda untuk melakukan pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati pasangannya iaitu wanita berusia 33 tahun berada di tingkat atas rumah berkenaan.

"Mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen membuktikan mereka mempunyai hubungan mahram atau suami isteri," katanya di sini, hari ini.

Radzi berkata, pasangan itu bekerja sebagai penjawat awam dan kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Jenayah Syariah Kedah 2014.

Beliau berkata, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 1:13 PM