GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Petaling Jaya: Seorang pengarah syarikat bebas daripada tuduhan melakukan pemerasan berjumlah RM5 juta terhadap Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Jeffrey Cheah, selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak meneruskan kes itu.

Pada 27 Februari 2019, Cheah Chyuan Yong, 39, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memeras ugut pengasas Yayasan Jeffrey Cheah, iaitu menakutkan beliau dengan cara ingin menyebarkan satu surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan tujuan mendorong Jeffrey menyerahkan sejumlah wang kepada seorang individu, Beh Chun Chuan dan menyelesaikan semua hutang tertuduh dengan Sunway Leasing Sdn Bhd, berjumlah RM5 juta.

Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan itu di pusat beli-belah Sunway Pyramid, di sini, pada 12 Oktober 2018 mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan sebat atau dua daripada mana-mana seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Peguam Datuk Hazizah Kassim yang mewakili Cheah memberitahu Bernama, pada 16 Jun lalu, Mahkamah Majistret di sini melepas tanpa membebaskan (DNAA) anak guamnya daripada pertuduhan itu, selepas pihak pembelaan memohon perintah pelepasan berikutan saksi pendakwaan yang juga pengadu dalam kes itu iaitu Jeffrey, tidak hadir untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

"Pada 4 Ogos lalu, kami menulis surat kepada Peguam Negara memohon Cheah dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan. Status DNAA membolehkan beliau dituduh semula pada masa akan datang," katanya.

Hazizah berkata, pihaknya menerima surat daripada AGC bertarikh 7 Oktober lalu yang mengesahkan berdasarkan alasan dalam permohonan representasi pihaknya, AGC berpuashati untuk tidak akan meneruskan pertuduhan terhadap anak guamnya.

Katanya, surat itu ditandatangani Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam, Bahagian Pendakwaan AGC Yusaini Amer Abdul Karim.

Yusaini Amer ketika dihubungi mengesahkan, AGC memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Cheah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 1:36 PM