Ramli Ibrahim


Gua Musang: Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) mengharapkan pengambilalihan semula ladang yang dipajakkan kepada FGV Holdings Bhd (FGV) dapat memberi faedah sama rata kepada generasi agensi itu.

Pengerusi KAF Felda Wilayah Gua Musang Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pengambilalihan semula ladang yang digadai itu boleh memberi perubahan dan impak yang cukup baik dalam organisasi Felda.

"Ibarat selama ini 'berputih mata' selepas berlaku gadaian ladang itu, kini generasi baharu Felda boleh menikmati kembali hak mereka untuk kemajuan bersama.

"Generasi baharu adalah tunjang kepada Felda apabila menjadi pewaris berterusan dalam memaju dan membangun ladang Felda seluruh negara," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata, transformasi yang dibuat Felda itu penting memandangkan generasi Felda yang kini meningkat beberapa kali ganda daripada jumlah asal 112,635 peneroka.

Katanya, generasi baharu yang memerlukan pembelaan kerana mereka bakal mewarisi rancangan tanah terbabit.

Baru-baru ini, Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh mengumumkan Felda mahu ambil semula 350,000 hektar ladang sawit yang pajak kepada FGV.

Ia sebahagian pelan transformasi yang akan dilaksanakannya dalam model perniagaan baharu yang dianggap lebih mampan dan berdaya saing.

Mohd Syahbuddin juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas menyokong penuh ke atas cadangan Pengerusi FELDA dan pembaharuan yang dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 2:15 PM