Keadaan mayat dua beranak yang terbabit kemalangan di Kilometer 61, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Felda Jerangau, Dungun, hari ini. Foto ROSLI ILHAM
Keadaan mayat dua beranak yang terbabit kemalangan di Kilometer 61, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Felda Jerangau, Dungun, hari ini. Foto ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


Dungun: Dua beranak maut selepas kereta dinaiki mereka dipercayai bertembung dengan pacuan empat roda di Kilometer 61, Jalan Jerangau-Jabur dekat Felda Jerangau, di sini, hari ini.

Kemalangan kira-kira 10.09 pagi itu mengakibatkan Mohamed Jenal, 61, dan anak perempuannya, Mardiah, 26, maut di lokasi.

Mereka dipercayai dalam perjalanan dari rumah di Felda Jerangau Barat menuju ke Bandar Dungun.

Difahamkan, kereta Proton Gen2 dipandu Mohamed dikatakan terbabas ke laluan bertentangan dipercayai cuba mengelak ular sawa melintas sebelum bertembung dengan Mitsubishi Storm.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Penolong Penguasa Bomba, Zul Husni Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.10 pagi sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi.

Menurutnya, pihaknya mendapati kedua-dua mangsa tersepit di dalam kereta Proton Gen2 itu lalu melakukan operasi mengeluarkan mangsa.

"Ketika itu, dua beranak itu dipercayai sudah meninggal dunia dan anggota bomba mengambil masa selama 15 minit untuk mengeluarkan mereka.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

"Pemandu sebuah lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu tidak cedera dan kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 2:25 PM