SEREMBAN diletakkan dalam zon kuning sekali gus menafikan laporan berita yang tular di media sosial mengatakan daerah ini dalam zon merah. FOTO BERNAMA
SEREMBAN diletakkan dalam zon kuning sekali gus menafikan laporan berita yang tular di media sosial mengatakan daerah ini dalam zon merah. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Seremban: Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S Veerapan menafikan daerah ini berada dalam kategori zon merah pandemik Covid-19.

Menurutnya, sebanyak 15 kes direkodkan di daerah itu sejak 8 Oktober hingga semalam dan Seremban diletakkan dalam zon kuning sekali gus menafikan laporan berita yang tular di media sosial hari ini mengatakan daerah ini dalam zon merah.

"Laporan berita itu sudah diterbitkan pada 30 Mac lepas, namun ditularkan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Isu berkenaan adalah palsu dan tidak tepat. Selain menimbulkan kegelisahan dan panik kepada orang awam, ia juga boleh menjejaskan ekonomi setempat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Laporan kononnya Seremban dalam kategori zon merah ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab susulan berlaku peningkatan kes baharu positif Covid-19 di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Veerapan meminta orang ramai agar berwaspada dengan maklumat yang diterima serta berkongsi dengan orang lain kerana mereka boleh dikenakan tindakan tegas jika didapati menyebarkan maklumat palsu.

Sehingga semalam, Negeri Sembilan merekodkan sembilan kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,119 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 2:52 PM