Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Penetapan Bekerja Dari Rumah (BDR) oleh kerajaan bermula hari ini, memberi kesan terutamanya kepada peniaga akibat kekurangan pelanggan.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Jalan Bunus dan beberapa lokasi di ibu negara mendapati, keadaan kawasan perniagaan yang biasanya dikunjungi orang ramai lengang.

Begitu juga dengan medan selera serta kedai makan yang hanya dikunjungi beberapa pelanggan, sebahagian besarnya membeli makanan secara bungkus.

Peniaga nasi kukus, Siti Nabilah Alias, 30, berkata, pelaksanaan BDR memberi kesan mendadak kepada jualannya.

SITI Nabilah Alias
SITI Nabilah Alias

Katanya, walaupun baru memulakan perniagaan jam 12 tengah hari tadi, tidak ramai pelanggan yang datang.

"Memang terkesan. Biasanya pada waktu ini (tengah hari), pelanggan yang bekerja di sekitar kawasan ini akan beratur panjang.

"Tetapi hari ini tidak ada. Hanya seorang dua yang datang beli, saya harap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini segera berakhir supaya perniagaan kembali normal," katanya yang berniaga sejak lima tahun lalu.

MASTURA Che Ahmad
MASTURA Che Ahmad

Eksekutif jualan, Mastura Che Ahmad, 40, berkata, jumlah jualan setakat ini berkurang daripada sebelumnya kerana ketiadaan pelanggan.

"Walaupun ramai yang BDR, kami di sektor perkhidmatan ini kena teruskan juga. Harapan saya semoga akan ada mekanisme lain bagi membolehkan orang ramai menjalankan urusan seperti biasa," katanya.

Sementara itu, bagi Ali Syed Mohd, 54, perniagaan restoran yang diusahakannya di Jalan Pantai Baru juga merosot sekitar 60 peratus berbanding kebiasaan.

ALI Syed Mohd
ALI Syed Mohd

Katanya, ia mungkin disebabkan pelanggan yang biasanya memenuhi kedainya bekerja dari rumah seperti mana arahan dikeluarkan kerajaan.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana masih boleh berniaga dan berharap keadaan akan semakin pulih dalam tempoh terdekat ini," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 3:59 PM