X
DATUK Seri Alexander Nanta Linggi menafikan mengeluarkan kenyataan mengenai satu sistem kewangan berkaitan bitcoin seperti tular di media sosial.
DATUK Seri Alexander Nanta Linggi menafikan mengeluarkan kenyataan mengenai satu sistem kewangan berkaitan bitcoin seperti tular di media sosial.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan mengeluarkan kenyataan mengenai sistem kewangan berkaitan bitcoin seperti tular di media sosial.

Katanya, berita berkenaan adalah palsu dan beliau tidak pernah ditemubual atau mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu.

"Saya dimaklumkan gambar dan nama saya digunakan oleh pihak tertentu untuk mempromosikan satu sistem aplikasi yang dikatakan berkaitan dengan sistem kewangan bitcoin.

"Saya tidak pernah ditemubual atau mengeluarkan sebarang kenyataan untuk mempromosikan sistem aplikasi kewangan sedemikian," katanya pada kenyataan di Facebook (FB) rasminya hari ini.

Artikel bertajuk 'BREAKING: Alexander Nanta Linggi Reveals A System So Coronavirus (COVID-19) Does Not Affect the Economy of Malaysians' antara yang tular di media sosial menggunakan nama beliau oleh pihak tertentu dipercayai untuk tujuan iklan dan promosi.

Justeru, Alexander menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang promosi mencurigakan yang menggunakan nama personaliti atau individu dikenali ramai di platform media sosial.

"Semak dahulu kesahihan sesuatu iklan yang menawarkan keuntungan meragukan. Laporkan segera kepada pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 4:09 PM