GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Kerajaan negeri Pulau Pinang menangguhkan pembayaran Program Sumbangan Ibu Tunggal dan Ibu Emas Fasa 1 pada 24 dan 25 Oktober ini ke tarikh lain yang akan diumumkan.

Penangguhan itu dibuat bagi mengelakkan penularan Covid-19 dalam kalangan penerima terutama warga emas.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK), semalam.

Katanya, ia juga berdepan kesukaran berikutan terdapat sejumlah besar penerima masih tidak menukar sistem penyaluran kepada kaedah pemindahan dana elektronik (EFT).

"Terdapat seramai 11,705 ibu tunggal yang mendaftar bagi Program Sumbangan Ibu Tunggal dengan 7,535 daripadanya sudah menerima bantuan menerusi EFT, manakala bakinya tidak mempunyai akaun bank.

"Begitu juga bagi Program Sumbangan Ibu Emas, terdapat 49,176 pemohon berdaftar dan 31,532 daripadanya sudah menerima bayaran menerusi EFT, manakala 7,535 daripadanya tiada akaun bank," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Phee berkata, pembayaran juga pernah ditangguhkan sebelum ini iaitu pada Mac lalu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, penerima boleh mendapatkan borang EFT di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Pejabat Daerah dan Tanah berhampiran.

"Jika penularan wabak masih berlaku hingga ke hujung tahun, kerajaan negeri berjanji akan membuat pembayaran itu pada tahun hadapan.

"Justeru, penerima yang belum memohon pindahan secara EFT diminta berbuat demikian sepanjang tempoh ini," katanya

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 4:32 PM