Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: "Berkahwin dan berpisah (bercerai) itu lumrah kehidupan tetapi yang paling menyedihkan saya tidak mampu memberi nafkah anak," kata Musraini Mustapar Kamar, 43, ketika ditemui di rumahnya di Taman TKK, Bagan Pinang di sini.

Menurutnya, hidupnya sebatang kara dan tidak mampu bekerja akibat kemalangan serta menghidap penyakit kencing manis kronik hingga membuatkan matanya menjadi rabun dan menyukarkannya untuk bergerak.

"Saya tidak minta jadi begini dan ingin berdikari tanpa mengharapkan bantuan orang lain tetapi kesihatan saya tidak mengizinkannya berbuat demikian, saya berasa sangat lemah.

"Selepas berpisah dengan isterinya tiga tahun lalu, saya tinggal seorang diri.

"Hasil perkahwinan sebelum ini, saya mempunyai tiga orang anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan berusia tujuh hingga 10 tahun.

"Kini, mereka tinggal bersama bekas isteri yang sudah berkahwin lain di Pontian," katanya.

Menurutnya, kehidupannya berubah selepas setahun bercerai apabila ditimpa kemalangan dan mengalami masalah kesihatan yang kronik.

"Hidup saya ditimpa malang apabila mengalami kemalangan ketika bekerja sebagai juruelektrik di sebuah syarikat di sini menyebabkan mengalami masalah saraf yang kronik.

"Akibat kemalangan itu, saya terpaksa berhenti kerja di syarikat itu kira-kira tiga tahun yang lalu dan sudah menjalani pembedahan sebelum ini namun sakitnya tetapi masih belum sembuh sehingga sekarang menyebabkan kaki menjadi lembik dan sukar bergerak," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Prihatin Port Dickson di rumahnya.

Musraini berkata, lebih memburukkan keadaan apabila dia mengalami kemalangan jalan raya di Rembau pada awal tahun ini.

"Sejak itu, saya tidak lagi mampu bergerak seperti biasa dan pastinya tidak mampu bekerja lagi kerana turut mengalami masalah kesihatan lain seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi," katanya.

Menurutnya, dia tidak pasti masa depannya kerana tiada pendapatan mahupun simpanan yang habis digunakan untuk menampung kehidupan dan membayar ansuran rumah.

"Rumahnya yang diduduki ini akan dilelong bila-bila masa dan semua duit caruman dari akaun 2 KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) sudah habis digunakan untuk membayar ansuran rumah RM650 sebulan tetapi saya tetap tidak mampu kerana sudah terlalu lama tidak bekerja.

"Tunggakan demi tunggakan menyebabkan rumah ini akan dilelong oleh bank dan saya hanya menunggu masa arahan keluar dari rumah ini.

"Saya reda mungkin ini ujian Allah tetapi saya tidak pernah melupakan anak-anak, saya amat merindui mereka," katanya.

Sementara itu, wakil Prihatin Port Dickson, Mohd Rizal Ishak berkata, pihaknya mendapat tahu kisah lelaki yang sedang sakit dan tinggal sebatang kara itu melalui hantaran Facebook yang dibuat Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai 'Uncle Kentang'.

MUSRAINI (kiri) ketika menerima sumbangan daripada Mohd Rizal Ishak (kanan) di rumahnya di Taman TKK, Bagan Pinang, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
MUSRAINI (kiri) ketika menerima sumbangan daripada Mohd Rizal Ishak (kanan) di rumahnya di Taman TKK, Bagan Pinang, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria

"Sedih juga melihat keadaan Musraini yang hidupnya tidak terurus dan sebatang kara dan sudah menjadi tanggungjawab kita bersama-sama membantu dan meringankan bebannya.

"Dia cuba berusaha sendiri untuk mencari duit belanja tanpa menyusahkan orang lain kerana ada satu plastik besar yang penuh botol minuman.

"Katanya, dia ingin menjual kesemua botol tersebut untuk mendapatkan sedikit wang bagi membeli makanan dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan orang lain," katanya.

Mohd Rizal berkata, pihaknya akan berbincang bersama ahli Prihatin Port Dickson untuk mengadakan gotong-royong membersihkan rumah ini kerana terlalu kotor dan tidak terurus.

Orang ramai yang mahu menyumbang bagi meringankan bebannya dan meneruskan kelangsungan hidup bolehlah terus menyalurkannya ke akaun Maybank, 155042000097 (Musraini Mustapar Kamar).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 4:47 PM