HASSAN yang ditemui dalam keadaan lemah terpaksa diangkat mengggunakan pengusung. FOTO IHSAN JBPM
HASSAN yang ditemui dalam keadaan lemah terpaksa diangkat mengggunakan pengusung. FOTO IHSAN JBPM
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di dalam hutan di Kampung Lubuk Kawah Bukit Batu, di sini, petang semalam ditemui 9.45 pagi hari ini dalam keadaan lemah.

Difahamkan, Hassan Ab Rahman, 68, mempunyai masalah kesihatan dan pernah menghidap penyakit alzheimer.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan warga emas berkenaan pada 2.22 petang semalam.

"Sebaik menerima laporan itu, 10 anggota dari BBP Kuala Krai dan BBP Sungai Durian dikerahkan ke lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Selepas hampir empat jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan, kami tidak menjumpai mangsa dan operasi pencarian terpaksa ditangguhkan pada 6 petang semalam," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, gerakan mencari mangsa kemudian diteruskan pada hari ini dengan kekuatan 23 anggota termasuk bantuan daripada agensi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan juga pemandu arah iaitu penduduk tempatan di kawasan berkenaan.

"Selain itu, kami juga menggunakan empat anjing pengesan (K9) bagi membantu mengesan mangsa yang hilang.

"Selepas sejam operasi SAR dijalankan, mangsa berjaya dikesan dan dijumpai pagi tadi oleh K9 pada jarak 500 meter. Ketika ditemui, keadaan mangsa sangat lemah dan tidak mampu berjalan sehingga terpaksa diangkat menggunakan pengusung.

"Mangsa diberi rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 5:24 PM