SAYUTI dan isteri bersama Rizal Shafwan yang memerlukan sumbangan bagi menjalani pembedahan di Sunway Medical Centre, Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
SAYUTI dan isteri bersama Rizal Shafwan yang memerlukan sumbangan bagi menjalani pembedahan di Sunway Medical Centre, Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
Rosyahaida Abdullah


Kuala Lumpur: Pernah diuji dengan masalah jantung berlubang membabitkan anak sulung kira-kira enam tahun lalu, ujian sama kini perlu dilalui suami isteri membabitkan anak bongsu pula.

Sayuti Abdul Rahman, 39, dan isterinya, Rohaniah Ramli, 38, sekali lagi perlu menjadi penguat antara satu sama lain untuk berdepan masalah jantung berlubang dihidapi anak bongsu, Rizal Shafwan, berusia 15 bulan.

Menurut Sayuti, masalah pada jantung Rizal Shafwan dikesan seawal usia dua bulan sewaktu bayi terbabit dibawa ke Klinik Kesihatan Labok, Machang, Kelantan untuk pemeriksaan susulan.

Jelasnya, hasil pemeriksaan lanjut oleh doktor sewaktu vaksinasi ingin dilakukan mendapati, anak bongsunya itu berdepan masalah pada jantung sebelum kes dirujuk ke Hospital Kuala Krai.

"Isteri menangis sebaik dimaklumkan mengenai keadaan Rizal dan meluahkan kerisauannya terutama soal kewangan memandangkan hanya saya yang bekerja menyara keluarga.

"Pada waktu itu, selain mencari jalan penyelesaian untuk masalah kesihatan anak, apa yang penting pada saya adalah emosi isteri memandangkan dia baru habis tempoh berpantang.

"Jadi saya katakan padanya, saya tidak mahu dia fikirkan soal wang ringgit kerana itu tanggungjawab saya, jadi saya akan usahakan sehabis daya saya. Cukuplah dia penat menguruskan rumah tangga dan anak," katanya.

Bercerita lanjut, jelas bapa kepada empat asnak ini, tidak lama selepas menerima perkhabaran itu, dia mendapat panggilan daripada seorang doktor pakar di Hospital Kota Bharu yang cuba membantu.

"Doktor pakar itu menyarankan supaya saya mendapatkan bantuan segera memandangkan pembedahan Rizal tidak boleh ditangguh.

"Beliau mencadangkan saya mendapatkan bantuan daripada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dan Alhamdulillah, ternyata mereka sudi membantu menguar-uarkan perkara ini," katanya.

Selama setahun berulang-alik dari rumahnya ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan susulan Rizal Shafwan, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini mengakui gajinya banyak dihabiskan untuk perubatan Rizal Shafwan serta anak sulung.

"Meskipun sudah enam tahun anak sulung saya dibedah untuk masalah hampir sama (jantung berlubang), dia masih perlu menjalani rawatan susulan sekurang-kurangnya sehingga usianya 21 tahun.

"Namun saya tetap bersyukur kerana anak kedua dan ketiga tiada masalah kesihatan seperti ini, ia menjadikan kami sangat bersyukur dengan apa yang ada dalam kesulitan yang Tuhan hadirkan," katanya lagi.

Difahamkan, kos pembedahan awal untuk Rizal Shafwan berjumlah kira-kira RM30,000 dan ia dijangka dilakukan di Sunway Medical Centre sejurus jumlah itu berjaya dikumpul.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan menerusi akaun Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek disertai nama pesakit (Rizal Shafwan Sayuti) di belakang cek.

Cek boleh dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-24278678.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 7:14 PM