Mahaizura Abd Malik dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan, 2,145 murid dan pelajar seluruh negara dijangkiti Covid-19 sejak Februari hingga 21 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 1,257 dijangkiti ketika tempoh permulaan gelombang ketiga Covid-19 antara 20 September hingga 21 Oktober.

"Sejak Februari hingga 21 Oktober, 830 murid berumur tujuh hingga 12 tahun dijangkiti Covid-19.

"Jumlah pelajar dijangkiti pula 1,315 membabitkan mereka yang berusia 13 hingga 18 tahun.

"Pada permulaan gelombang ketiga bermula 20 September hingga 21 Oktober lalu, 587 murid berumur tujuh hingga 12 tahun dijangkiti.

"Bagi pelajar berumur 13 tahun hingga 18 tahun, 670 dijangkiti," katanya pada sidang media harian Covid-19 hari ini.

Setakat ini, beliau berkata, 12 sekolah yang terkesan dengan kluster sedia ada ditutup.

PENGAWAL keselamatan menutup pintu pagar SMK Aminuddin Baki, Chemor berikutan seorang pelajar sekolah berkenaan dijangkiti Covid-19. FOTO Sharul Hafiz Zam
PENGAWAL keselamatan menutup pintu pagar SMK Aminuddin Baki, Chemor berikutan seorang pelajar sekolah berkenaan dijangkiti Covid-19. FOTO Sharul Hafiz Zam

"Ini tidak bermakna punca jangkitan di sekolah tetapi biasanya dibawa ke sekolah oleh mereka yang ada dalam kluster atau dijangkiti daripada ahli keluarga atau kes sporadik.

"Contoh, tiga sekolah ditutup di Negeri Sembilan, masing-masing berkaitan dengan Kluster Cahaya, Kluster Sofi dan Kluster Bah Manggis diikuti tiga sekolah di Johor berkaitan Kluster Simera dan Kluster Rinting,' katanya.

Begitu juga dua sekolah ditutup di Kuala Lumpur yang mana ia ada kaitan dengan Kluster Jalan Pantai dan Kluster Long, sebuah sekolah di Pulau Pinang (Kluster Alma), sebuah sekolah di Melaka (Kluster Bukit), sebuah sekolah di Putrajaya (Kluster Selasih) manakala sebuah sekolah di Sarawak (Kluster Bah Arnab).

Katanya, jika berlaku jangkitan, sekolah berkaitan akan ditutup seminggu untuk proses sanitasi dan saringan kontak rapat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 8:21 PM