ENAM PATI yang diberkas kerana menyeludup rokok dengan seorang suspek positif Covid-19. FOTO ihsan Maritim Malaysia
ENAM PATI yang diberkas kerana menyeludup rokok dengan seorang suspek positif Covid-19. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Seorang daripada enam pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan kerana cuba membawa masuk 19,900 karton rokok seludup di perairan Pulau Tetabuan dekat Beluran, semalam, disahkan positif Covid-19.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, dalam kejadian jam 2 petang itu, bot Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Ops Benteng terserempak bot nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan lalu ditahan untuk pemeriksaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui 398 kotak berisi 19,900 karton rokok putih disyaki cuba diseludup masuk.

"Enam kru termasuk tekong berumur antara 20 hingga 54 tahun disyaki warga Filipina ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta lesen bot tamat tempoh.

"Nilai keseluruhan rampasan rokok putih berserta cukai termasuk bot dianggarkan berjumlah RM4.8 juta.

"Bot serta kru dibawa masuk ke Jeti Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, saringan Covid-19 mendapati seorang PATI positif dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan manakala lima lagi suspek negatif dan diasingkan di dalam lokap.

"Namun demikian, siasatan diteruskan mengikut Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985," katanya.

Menurutnya, Maritim Sandakan akan terus meningkatkan kawalan di persempadanan perairan negara terutamanya dalam memerangi penularan Covid-19 ke Sabah.

"Disamping itu, kami berusaha menyekat aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan lain-lain jenayah maritim.

"Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 9:08 PM