Amarudin (kanan) dan Aminah memulakan kayuhan pagi ini. FOTO Ramli Ibrahim.
Amarudin (kanan) dan Aminah memulakan kayuhan pagi ini. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Suami isteri mahu mencabar diri dan mencipta rekod dengan melakukan kayuhan sejauh 1,000 kilometer (km) dari Bandar Utama, di sini ke Johor Bharu.

Amarudin Awang, 50, dan isterinya, Aminah Daud, 51, berharap kayuhan itu dapat disempurnakan dalam tempoh 12 hari bermula 8.30 pagi tadi.

Pelepasan pasangan itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan Adun Nenggiri Ab Aziz Yusof yang turut mengiringi mereka berkayuh sejauh 17 kilometer.

Turut serta 28 lagi rakan berbasikal pasangan itu.

Amarudin berkata, dia dan isterinya tekad melakukan misi itu selepas sebelum ini kerap melakukan kayuhan santai termasuk sejauh 200 kilometer.

"Kami menyahut cabaran 1,000 kilometer kali ini dan akan melalui Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Machang serta melalui Terengganu menerusi laluan di Penarik, Batu Rakit, Marang, Kuala Dungun, Kerteh, Chukai.

"Seterusnya kami akan ke Pahang melalui Gambang, Pekan, Muadzan Shah, Kuala Rompin, Endau dan terus ke Johor Bahru," katanya ditemui sebelum kayuhan.

Aminah pula berkata, aktif berbasikal sejak enam tahun lalu yang pada mulanya untuk kesihatan diri sebelum, menjadi aktiviti kegemarannya bersama suami dan rakan.

"Kerap juga saya sertai kayuhan peringkat daerah dan negeri, namun kali ini berharap cabaran bersama suami dapat diselesaikan dengan baik dan kami berdua selamat," katanya yang memberitahu mendapat sokongan rakan dan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 10:38 AM