ANGGOTA boba memadam kebakaran rumah di Kampung Ulu Bakai yang menyebabkan seorang warga emas melecur. FOTO Ihsan bomba.
ANGGOTA boba memadam kebakaran rumah di Kampung Ulu Bakai yang menyebabkan seorang warga emas melecur. FOTO Ihsan bomba.
Safuri Kamarudin


Baling: Lelaki warga emas melecur di badan selepas rumahnya di Kampung Ulu Bakai, Malau di sini, terbakar semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 10.38 malam.

Katanya, ketika anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling tiba di lokasi berjarak 42 kilometer, didapati sebuah rumah kayu setingkat kelas C hampir musnah.

"Angin kuat menyebabkan api marak dengan cepat dan seorang mangsa iaitu warga emas berusia lingkungan 80-an melecur dan dihantar ke Hospital Kulim oleh penduduk.

"Operasi pemadaman segera dilakukan dengan turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Ketil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera dikatakan tinggal seorang diri di rumah itu.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 10:56 AM