Jalan balak ke Pos Balar dan Gob rosak teruk yang tidak sesuai dilalui musim hujan sekarang kepada rombongan luar daripada daerah ini ke perkampungan Orang Asli. FOTO RAMLI IBRAHIM
Jalan balak ke Pos Balar dan Gob rosak teruk yang tidak sesuai dilalui musim hujan sekarang kepada rombongan luar daripada daerah ini ke perkampungan Orang Asli. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Individu yang ingin ke perkampungan Orang Asli di pedalaman daerah ini perlu terlebih dahulu mendapat surat kebenaran daripada ketua jajahan.

Ini bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan mereka jika berlaku kejadian tidak diingini musim tengkujuh ini yang mudah terdedah sebarang kemungkinan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, apabila sudah ada surat kebenaran perlu pula mendapat nasihat daripada jabatan kerajaan berkaitan.

Menurutnya, individu berkenaan perlu mendapatkan nasihat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

Katanya, perjalanan berkenaan terpaksa diperketat kerana keadaan jalan ke perkampungan Orang Asli rosak teruk.

"Paling teruk keadaan jalan ke Pos Balar, Gob, Simpor, Belatim dan Tohoi yang mudah berlaku banjir lumpur hingga terputus hubungan," katanya.

Beliau mengakui jalan ke pos terbabit juga sebelum ini pernah berlaku kejadian bukit dan jambatan runtuh hingga ada yang terperangkap.

"Ia hanya dalam tempoh monsun Timur Laut yang mudah berlaku hujan lebat dan banjir lumpur boleh mencemaskan mereka terbabit," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Taufik berkata, Orang Asli kebanyakan menggunakan motosikal untuk keluar ke bandar ini melalui jalan balak bagi membeli barang keperluan.

Menurutnya, apabila berlaku bukit dan jambatan runtuh tentunya menghalang laluan mereka sekali gus menyebabkan penduduk terbabit berdepan kesusahan dan mengambil masa untuk baiki semula.

"Syarat yang lebih ketat terpaksa dikenakan kepada rombongan luar ke perkampungan Orang Asli itu juga bagi membendung menularan pandemik Covid-19.

"Terdapat juga masyarakat Orang Asli yang mengambil tindakan masuk ke hutan supaya mereka tidak dijangkiti dengan pandemik itu.

"Sekiranya ada pihak yang mahu menghulurkan bantuan makanan boleh menyerahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk disampaikan kepada Orang Asli," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 1:29 PM