Anggota BBP Kuala Berang mengusung anggota PERHILITAN yang dipatuk ular ketika menjalani latihan di Hutan Simpan Sekayu. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota BBP Kuala Berang mengusung anggota PERHILITAN yang dipatuk ular ketika menjalani latihan di Hutan Simpan Sekayu. FOTO IHSAN BOMBA
Zaid Salim


Kuala Berang: Anggota bomba mengambil masa empat jam bagi menyelamatkan mangsa dipatuk ular di Hutan Simpan Sekayu di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang Hanaffi Mohd berkata, mangsa, Muhammad Imran Khasimin Kamarul Zaman, 24, yang juga anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang dipercayai dipatuk ular kapak itu ketika menyertai latihan di kawasan terbabit.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.50 petang sebelum lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

"Kita mengambil masa lebih empat jam berjalan ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh kira-kira enam kilometer.

"Sebaik tiba di lokasi, rawatan awal diberikan dengan membalut buku lali kiri mangsa yang dipatuk ular," katanya hari ini.

Menurutnya, mangsa berada dalam keadaan stabil selepas diberi rawatan awal dan kemudiannya dibawa keluar menggunakan pengusung sebelum dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.

Katanya, tiada laluan kenderaan untuk ke lokasi kejadian menyebabkan pihaknya terpaksa berjalan dan meredah sungai untuk membawa mangsa keluar dari kawasan hutan berkenaan.

"Operasi yang bermula pada 4.55 petang tamat pada 8.30 malam tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 1:44 PM