Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: "Saya reda dengan ujian ini dan akan menjaganya sebaik mungkin selagi kudrat masih ada," kata Fazatul Azren Husin, 34, ibu kepada Ummu Damia Khalisya Saifful Amilin, 6 tahun yang menghidap hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala dan Cerebral Palsy (CP).

Fazatul Azren berkata, Ummu Damia Khalisya yang juga anak bongsu daripada dua beradik disahkan menghidap penyakit itu sejak lahir dan keadaan itu menyebabkannya terlantar serta tidak mampu bergerak bebas seperti kanak-kanak seusianya.

Lebih menyedihkan lagi, Ummu Damia Khalisya juga kerap diserang sawan dan perlu bergantung sepenuhnya kepada ubat sawan yang diberikan dua kali sehari selain tidak dapat bertutur dan ketika berusia empat tahun kedua-dua matanya tidak lagi dapat melihat.

Menurut Fazatul Azren, ketika usia kandungannya mencecah lapan bulan, doktor sudah memaklumkan terdapat masalah di bahagian kepala dan mengesan ada lebihan cecair dalam kepala anak yang dikandungnya.

"Pada ketika itu, doktor memberitahu sekiranya bayi saya dilahirkan, jangka hayatnya adalah antara seminggu atau dua minggu, namun saya serahkan segalanya kepada Allah SWT sekiranya ditakdirkan umur anak saya tidak panjang.

"Alhamdulillah, anak saya selamat dilahirkan dan dengan izin Allah SWT, dia masih ada sehingga kini. Cuma keadaannya terlantar dan saya perlu memantau serta menguruskannya setiap hari termasuk memandikan dan memberinya makan ubat mengikut waktu," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Padang Bongor, Binjai, di sini, semalam.

Katanya, selepas anaknya dilahirkan, dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian selama seminggu bagi memantau keadaannya sebelum dibenarkan pulang.

"Bagaimanapun, ketika Ummu Damia Khalisya berusia empat bulan, saiz kepalanya dari 37 sentimeter membesar kepada 48 sentimeter dalam masa dua minggu serta kerap menangis.

"Saya membawanya ke Hospital USM dan doktor terpaksa melakukan pembedahan segera untuk memasukkan tiub di dalam kepala hingga ke pundi kencing bagi membuang lebihan air di dalam kepala.

"Selepas sebulan menjalani pembedahan, saiz kepalanya semakin membesar sehingga 54 sentimeter dan tidak ada perubahan sebaliknya Ummu Damia Khalisya hanya mampu terlantar.

"Ummu Damia Khalisya perlu menjalani rawatan fisioterapi empat kali sebulan dan perlu menjalani rawatan doktor pakar di Hospital USM Kubang Kerian setiap tiga atau enam bulan sekali," katanya.

UMMU Damia Khalisya Saifful Amilin bersama Fazatul Azren Husin. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
UMMU Damia Khalisya Saifful Amilin bersama Fazatul Azren Husin. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Fazatul Azren berkata, bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka tiga beranak, dia melakukan kerja separuh masa di sebuah hotel bajet di bandar Kubang Kerian dengan pendapatan RM30 sehari.

"Saya perlu memperuntukkan RM700 sebulan untuk membeli keperluan Ummu Damia Khalisya iaitu lampin pakai buang dan susu selain kos tambang kereta sewa setiap kali berulang alik ke hospital apabila terdapat temu janji.

"Anak saya memperoleh bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, namun ia tidak mencukupi kerana selain perlu membeli barang keperluannya, saya juga perlu menanggung seorang lagi anak, Muhammad Khalif Naufal, 10, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK Mentuan)," katanya yang sudah berpisah dengan bekas suaminya sejak tiga tahun lalu.

Fazatul Azren berkata, anaknya itu hanya bergantung kepada susu yang diberikan lapan kali sehari selain diberi makan bijiran dan makanan lembut.

"Pada setiap bulan, kos untuk membeli susu mencecah sehingga RM500 kerana susu Pediasure yang berharga RM160 setin hanya bertahan selama seminggu.

"Harga susu yang mahal, menyebabkan ada ketikanya saya terpaksa mencampurkannya dengan susu biasa supaya bekalan susu tidak terputus," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan ke Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 03003-41-00013210-3 atas nama Fazatul Azren Husin atau boleh menghubunginya di talian 01155094800.

Berita berkaitan

Demimu Damia!

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 2:08 PM