PEMILIK anjing menemui semula haiwan peliharaannya dengan bantuan dua anggota polis bantuan LDP.
PEMILIK anjing menemui semula haiwan peliharaannya dengan bantuan dua anggota polis bantuan LDP.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kecekapan dan keprihatinan dua anggota polis bantuan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) membantu mempertemukan seekor anjing buta dengan pemiliknya, kira-kira jam 2 pagi kelmarin selepas hilang beberapa jam akibat sesat.

Ketua Jabatan Komunikasi Litrak Shah Rizal Mohamed Fawzi berkata, anjing bernama Pebbles itu ditemui oleh Ahmad Safwan Mohd Rahim, 33, dan Mohd Firdaus Baharuddin, 33, ketika sedang membuat rondaan di LDP.

Menurut Shah Rizal, anggota terbabit kemudian menghubungi talian bantuan LDP untuk makluman seterusnya bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi menyelamatkan haiwan itu daripada bahaya lalu lintas.

"Anjing itu hilang dari rumahnya di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) hingga menyebabkan pemiliknya memuat pelbagai hantaran di media sosial, termasuk di akaun Facebook (Fb) penduduk mengesan haiwan peliharaannya itu.

"Lebih membimbangkan pemiliknya adalah kerana keadaan anjingnya itu yang mempunyai masalah penglihatan.

"Selepas beberapa jam anjing itu ditemui laluan utama Lebuhraya Damansara-Puchong dan anggota bertugas yang melihatnya terus bertindak pantas menghalang kenderaan lain melalui jalan berkenaan untuk sementara waktu bagi melakukan tugas menyelamat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Shah Rizal, pemilik berkenaan dimaklumkan mengenai penemuan haiwannya melalui aplikasi WhatsApp dan laman sosial.

"Dia datang mengambil haiwannya tidak lama kemudian dan turut berkongsi kisah itu di Fb dan berterima kasih kepada polis bantuan LDP dan orang ramai yang membantu menjejaki haiwan peliharaannya.

"Kisah ini satu perkongsian positif yang menunjukkan sikap tanggungjawab polis bantuan LDP hasil bantuan media sosial dan orang awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 3:16 PM