Antara pelbagai koleksi mainan milik Ab Karim yang terpaksa dijual untuk menampung kos rawatan kanser usus besar yang dihidapinya. FOTO ESSA ABU YAMIN
Antara pelbagai koleksi mainan milik Ab Karim yang terpaksa dijual untuk menampung kos rawatan kanser usus besar yang dihidapinya. FOTO ESSA ABU YAMIN
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: "Saya terpaksa menjual sebahagian koleksi mainan Hot Wheels, Lego dan robot Gundam untuk menampung kos perubatan setiap bulan.

"Apakan daya, jika tidak menjualnya, saya tidak mampu menampung kos rawatan," kata Ab Karim Atan, 58, yang menghidap penyakit kanser usus sejak penghujung 2018.

Ab Karim mengakui terlalu menyayangi koleksi permainan yang dikumpul sejak hampir enam tahun lalu, namun dia terpaksa menjualnya kerana tiada pilihan lain.

"Selepas disahkan menghidap kanser, saya perlu berulang-alik ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat, selain rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

Antara pelbagai koleksi mainan milik Ab Karim yang terpaksa dijual untuk menampung kos rawatan kanser usus besar yang dihidapinya. FOTO ESSA ABU YAMIN
Antara pelbagai koleksi mainan milik Ab Karim yang terpaksa dijual untuk menampung kos rawatan kanser usus besar yang dihidapinya. FOTO ESSA ABU YAMIN

"Kos untuk mendapatkan rawatan menyebabkan saya terpaksa menjual sebahagian koleksi itu, lagi pula saya sudah berhenti kerja (tukang rumah) dan kehabisan wang simpanan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Rahmat, di sini, hari ini.

Menurut Ab Karim, sejak muda lagi dia hanya bekerja sebagai tukang rumah, namun derita penyakit yang dialaminya itu menyebabkan dia terpaksa berhenti kerana pergerakannya terbatas selepas perlu menggantung dua kantung kecil di badan untuk membolehkan ususnya menjalani proses perkumuhan secara normal.

"Kini anak juga terpaksa berhenti kerja kerana saya memerlukan pemerhatian dia sepenuh masa, selain perlu menemankan saya untuk berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

"Sebelum ini arwah isteri turut menghidap kanser usus dan meninggal dunia pada 2017, setahun selepas itu saya pula yang disahkan menghidap penyakit sama," katanya.

Katanya, dia kini sekadar menghabiskan masa di rumah selain perlu ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan menggantikan dua kantung kecil di badan untuk proses perkumuhan itu.

Antara pelbagai koleksi mainan milik Ab Karim yang terpaksa dijual untuk menampung kos rawatan kanser usus besar yang dihidapinya. FOTO ESSA ABU YAMIN
Antara pelbagai koleksi mainan milik Ab Karim yang terpaksa dijual untuk menampung kos rawatan kanser usus besar yang dihidapinya. FOTO ESSA ABU YAMIN

"Kantung berkenaan serta salurnya perlu kerap digantikan bagi mengelakkan jangkitan kuman dan kos untuk kedua-dua kantung berkenaan tinggi," katanya.

Meskipun terbeban dengan kos rawatan yang tinggi, Ab Karim tidak duduk diam dan sekadar bergantung dengan jualan koleksi permainannya, sebaliknya dia tetap berusaha mencari pendapatan tambahan.

"Bagi menampung kos ubat, rawatan dan peralatan penyakit, saya bersama anak turut menanam pokok hiasan seperti keladi dan bonsai untuk dijual.

"Itupun jualannya tidak menentu kerana sejak saya mengusahakannya, hanya beberapa pokok sahaja yang berjaya dijual," katanya.

Bagi sesiapa yang ingin membantu dan meringankan beban Ab Karim, boleh berhubung dengan beliau di talian 017-7090986.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 3:32 PM