GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: Polis menafikan dakwaan kononnya daerah ini termasuk Bandar Baru Bangi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan kawasan terbabit bertukar menjadi zon merah.

Malah, mesej yang tular menerusi aplikasi WhatsApp berkenaan memaklumkan terdapat 16 sekatan jalan raya (SJR) akan diadakan di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, perkara yang tular menerusi mesej berkenaan adalah tidak benar.

"Maklumat itu adalah tidak betul. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya.

"Sebelum membuat suatu tindakan menyebar maklumat itu, orang ramai perlu membuat semakan kepada pihak berkaitan," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, satu mesej tular menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa daerah ini termasuk Bandar Baru Bangi dikenakan PKPD susulan kawasan terbabit bertukar menjadi zon merah selain pelaksanaan 16 SJR di sekitar daerah ini berkuat kuasa 10 malam ini.

Antara lokasi dikatakan akan diadakan SJR adalah hadapan sebuah stesen minyak Sungai Ramal dari Kajang ke Putrajaya, Seksyen 9 Bangi, Desa Jenaris Kajang, Stadium Kajang dan hadapan Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Bukit Dukong.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 4:05 PM