Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui sekumpulan peniaga di kompleks peniaga Bangunan Uda, di Jalan Bendahara berhampiran Pasar Besar Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Peniaga gerai makanan, Mohamad Kamal Ashari, 25, berkata, bayi itu ditemui kira-kira jam 9 pagi ketika dia ingin memulakan perniagaan di gerainya.

Katanya, bayi yang masih bertali pusat dengan uri yang belum dipotong itu ditemui berbalut dengan tuala yang masih ada kesan darah di dalam sebuah kotak di kaki lima gerainya.

"Mulanya, kami ingat ada orang buang anak kucing sebab penduduk setempat gemar membuang kucing di kawasan ini.

"Bagaimanapun timbul perasaan curiga apabila saya terdengar tangisan bayi itu namun bunyinya sangat perlahan, mungkin peniaga lain tidak mendengar tangisan bayi itu," katanya ketika ditemui NSTP di lokasi itu hari ini.

Mohamad Kamal berkata, menurut peniaga lain, kotak itu sudah berada di situ sejak gerai sebelahnya dibuka pada 7 pagi.

Sementara seorang lagi peniaga, Zainab Wahab, 51, berkata, dia dan kakaknya perasan kotak berkenaan sudah berada di kawasan itu ketika ingin membuka gerai pada jam 6.50 pagi, namun tidak mengesyaki apa-apa.

"Memang kami ingatkan itu orang buang anak kucing di dalam kotak itu, kami tidak sempat periksa kerana sibuk bersiap untuk memulakan operasi gerai di samping melayan pelanggan.

"Tangisan bayi berkenaan juga tidak kedengaran sehinggalah Mohamad Kamal mula mendengarnya menyebabkan kami terkejut apabila mendapati ia mengandungi bayi baru lahir," katanya.

Katanya, rentetan penemuan itu difahamkan kakitangan Hospital Kuala Kangsar serta polis datang ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan bayi itu.

Bayi lelaki yang masih bertali pusat dijumpai sekumpulan peniaga di kompleks peniaga Bangunan Uda, di Jalan Bendahara berhampiran Pasar Besar Kuala Kangsar, di sini, pagi tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Bayi lelaki yang masih bertali pusat dijumpai sekumpulan peniaga di kompleks peniaga Bangunan Uda, di Jalan Bendahara berhampiran Pasar Besar Kuala Kangsar, di sini, pagi tadi. FOTO Ihsan Pembaca

Katanya, bayi berkenaan dipercayai berusia 32 minggu dengan dilahirkan secara pramatang, selain dilahirkan dalam tempoh kurang dari 24 jam sebelum dijumpai.

"Keadaan bayi itu kini tidak stabil. Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 4:11 PM