KEADAAN motosikal Yamaha Lagenda ditunggangi Mohamad Azharil yang melanggar bangkai babi di Kilometer 4.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), awal pagi tadi. FOTO ihsan PEMBACA
KEADAAN motosikal Yamaha Lagenda ditunggangi Mohamad Azharil yang melanggar bangkai babi di Kilometer 4.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), awal pagi tadi. FOTO ihsan PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Perjalanan pulang seorang juruteknik syarikat swasta ke rumahnya bertukar tragedi apabila dia cedera terlanggar bangkai babi, jam 1 pagi tadi.

Mangsa, Mohamad Azharil Mohamad Anim, 26, patah dua batang gigi selain cedera pada tangan kiri dan kanan, lutut, bahu dan dagu selepas Yamaha Lagenda ditunggang merempuh bangkai babi di tepi jalan.

Kejadian berlaku di Kilometer 4.4, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).

Ibu mangsa, Sawrijana Yukiman, 50, berkata, kejadian berlaku ketika anak kedua daripada lima beradik itu dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Kuang menuju pulang ke rumah di Kampung Bukit Cherakah, Jeram selepas selesai bekerja.

"Sudah menjadi kebiasaan bagi Mohamad Azharil pulang dari tempat kerjanya sekitar jam 12 tengah malam dan melalui laluan berkenaan.

"Tiba di lokasi, Mohamad Azharil gagal mengelak bangkai babi berikutan keadaan laluan yang gelap," katanya ditemui Harian Metro di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

Sawrijana bagaimanapun bersyukur kerana anaknya selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 5:23 PM