RAKAMAN litar tv tertutup (CCTV) menunjukkan dua orang lelaki yang menunggang sebuah motosikal dipercayai meragut rantai emas milik B.Nagamah. FOTO Adnan Ibrahim
RAKAMAN litar tv tertutup (CCTV) menunjukkan dua orang lelaki yang menunggang sebuah motosikal dipercayai meragut rantai emas milik B.Nagamah. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


Kluang: Seorang wanita warga emas mendakwa kerugian RM11,000 selepas rantai emas miliknya diragut berdekatan rumahnya di Jalan Resak, di sini, semalam.

Dalam kejadian 9.15 pagi itu, B Nagamah, 76, diragut dua lelaki menaiki motosikal ketika dia singgah ke rumah jiran selepas membuang sampah di hadapan rumahnya.

Ketika ditemui hari ini, Nagamah berkata, dua lelaki itu mulanya berlegar-legar di hadapan rumahnya, namun dia langsung tidak menyangka mereka akan melakukan jenayah itu.

"Selepas membuang sampah, saya ke rumah jiran yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah saya.

"Kira-kira 15 minit kemudian, ketika dalam perjalanan balik, tiba-tiba sebuah motosikal berhenti sebelum pemboncengnya turun dan terus menanggalkan rantai leher dan menolak saya," katanya.

Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas dan dia tidak dapat mengecam wajah penjenayah itu kerana mereka menggunakan topi keledar yang menutup muka.

Sementara itu, anak mangsa, S Santhi, 45, berkata, dia menerima panggilan daripada anaknya memaklumkan kejadian sebelum bergegas pulang ke rumah dari tempat kerjanya di sebuah kilang tidak jauh daripada kediaman mereka.

"Mujur jiran ada kamera litar tertutup (CCTV) dan berjaya merakamkan kejadian.

"Saya berharap penjenayah dapat diberkas. Laporan sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang sejurus selepas kejadian, semalam," katanya.

Rakaman gambar CCTV yang menunjukkan kehadiran dua lelaki terbabit di kawasan perumahan itu turut tular dan menerima perhatian warganet di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 7:13 PM