ROMBONGAN Muhyiddin keluar dari Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota, Kuantan jam 7.15 malam selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Mustaffa Kamal
ROMBONGAN Muhyiddin keluar dari Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota, Kuantan jam 7.15 malam selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Mustaffa Kamal
Hayati IbrahimSuraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Tiada sebarang pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam ini.

Sejak petang tadi berlegar dakwaan khususnya di media sosial satu pengumuman khas dibuat Muhyiddin.

Pengumuman itu dipercayai berkaitan dengan keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas Kabinet pagi tadi.

Selain itu, Muhyiddin juga turut mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdul Aziz di Kuantan, petang tadi.

Muhyiddin kemudian dilihat keluar dari istana selepas dua jam dan menaiki penerbangan khas ke Kuala Lumpur.

Sebelum ini muncul desas-desus mengatakan kerajaan akan mencadangkan pembubaran Dewan Rakyat dan 'darurat politik' kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mengatasi ketidakstabilan politik dan mengelak lebih banyak konflik dalam sidang Parlimen akan datang.

Malah ada juga dakwaan mengatakan kerajaan dijangka mengumumkan 'darurat kesihatan' berikutan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak dalam negara terutama di Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Perkara itu dipertimbangkan selepas mendapat rayuan pengurusan tertinggi pasukan petugas barisan hadapan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, pandangan pihak berkaitan antaranya Pejabat Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut diambil berhubung implikasi jika langkah itu diambil kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 9:24 PM