ANTARA burng kenari yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
ANTARA burng kenari yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
Murnaena Muhammad Nasir


Sepang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 149 burung kenari spesis Serinus Canaria kerana tidak mempunyai permit import di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Rabu lalu.

Pengarah MAQIS Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata, hasil pemeriksaan mendapat burung kenari yang cuba dibawa masuk dari Belanda itu dianggarkan bernilai RM72,431.88.

"Perbuatan mengimport haiwan hidup tanpa permit import ditetapkan MAQIS adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia [Akta 728].

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-keduanya sekali di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama," katanya.

Menurutnya, MAQIS sentiasa melakukan pemeriksaan ke atas dagangan keluaran pertanian yang diimport di setiap pintu masuk negara.

"Ini bagi memastikan haiwan dan keluaran pertanian yang diimport ke negara ini bebas dari penyakit dan ancaman perosak serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 10:49 AM