REMAJA yang menunggang secara berbahaya ditahan polis. FOTO ihsan Polis
REMAJA yang menunggang secara berbahaya ditahan polis. FOTO ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tindakan tujuh mat rempit mempamerkan aksi berbahaya di Kilometer 256 hingga Kilometer 263 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Senawang mengundang padah apabila mereka ditahan polis, semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman melakukan pemantauan di kawasan berkenaan dengan sekumpulan remaja itu pada 12.05 tengah malam.

"Mereka dilihat menunggang motosikal dengan melakukan aksi berbahaya termasuk menundukkan badan, zig-zag dan 'superman' di sepanjang laluan berkenaan.

"Sekumpulan remaja itu kemudian dilihat memberhentikan kenderaan mereka di Hentian Rehat dan Rawat Senawang sebelum mereka ditahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, pihaknya turut mengeluarkan notis saman atas pelbagai kesalahan terhadap tujuh suspek berusia antara 17 dan 18 tahun itu.

"Semua suspek bersama motosikal mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 12:32 PM