GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Omar Ahmad


Johor Bahru: Johor merekodkan 39 kematian disebabkan denggi sehingga 17 Oktober lalu.

Statistik terkini itu menunjukkan berlaku peningkatan sebanyak 15 kes tahun ini berbanding hanya 24 kes yang direkodkan tahun 2019 bagi tempoh sama.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu berkata, jumlah kematian disebabkan denggi di negeri berkenaan sangat membimbangkan.

"Daerah Johor Bahru merekodkan 8,021 kes yang tertinggi di negeri ini diikuti Kulai (485), Kluang (253) Segamat (252), Batu Pahat (234), Kota Tinggi (196), Muar (154), Mersing (135), Pontian (121) dan Tangkak (100)," katanya.

Menurutnya, sebanyak 29 lokaliti wabak baharu telah dilaporkan pada Minggu Epid 42 membabitkan kawasan 27 di Johor Bahru, Kulai (1) dan Batu Pahat (1).

"Manakalan, terdapat 88 lokaliti wabak denggi yang masih aktif dilaporkan iaitu di Johor Bahru (82), Kulai (4), Tangkak (1) dan Batu Pahat (1)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Aman menyeru kepada masyarakat supaya peka terhadap gejala penyakit denggi dan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Katanya, pesakit denggi kebiasaannya akan mengalami tanda-tanda seperti demam panas, sakit kepala, sakit badan, tulang belakang atau sendi-sendi, sakit biji mata, loya dan muntah-muntah, atau ruam.

"Sekiranya gagal mendapat rawatan awal, demam denggi yang serius (demam denggi berdarah) boleh membawa maut.

"Aktiviti penguatkuasaan bersepadu iaitu Operasi Penguatkuasaan Premis Individu (OPPI) dijalankan hampir setiap minggu di lokaliti yang dikenalpasti bagi memastikan masyarakat peka dan sama-sama bertanggungjawab menghentikan penularan denggi.

"Sehingga kini, 2,909 kompaun sudah dikeluarkan dengan jumlah nilai kompaun sebanyak RM1,4 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 1:48 PM