Kenderaan terpaksa mengharungi sungai ke Pos Balar kerana tidak ada jambatan dan jalan rosak teruk. FOTO RAMLI IBRAHIM
Kenderaan terpaksa mengharungi sungai ke Pos Balar kerana tidak ada jambatan dan jalan rosak teruk. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Masalah jalan berlumpur yang menghubungkan Pos Balar dan Belatim di sini, dijangka selesai dalam masa terdekat ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, tender berhubung projek menaik taraf jalan itu sudah dikeluarkan, dan kerja-kerja akan dilaksanakan segera selepas syarikat yang berjaya diketahui kelak.

"Saya akui jalan ke Pos Balar dan Belatim mengalami masalah kerosakan paling teruk, sekali gus menyukarkan lebih 3,000 penduduk Orang Asli di kawasan sekitar.

"Masalah itu bukan sahaja dihadapi penduduk Orang Asli tetapi guru yang terkena tempias apabila terpaksa meredah lumpur ke Sekolah Kebangsaan (SK) Balar.

"Kita juga bimbang dengan masalah kerosakan jalan itu berlarutan memandangkan musim tengkujuh akan tiba tidak lama lagi," katanya di sini, hari ini.

Mohd Syahbuddin berkata, selain jalan, dua jambatan turut dibina untuk sebagai laluan ke Pos Balar.

Katanya, selama ini kenderaan terpaksa mengharungi sungai dan ia amat menyukarkan penduduk yang terpaksa menunggu air sungai surut sebelum menyeberang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 1:53 PM