Mohd Roji Kawi


Kota Samarahan: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg enggan terperangkap dalam polemik politik berhubung spekulasi kemungkinan darurat diisytiharkan Kerajaan Persekutuan.

Abang Johari berkata, belum ada pengumuman rasmi mengenai isu itu dan beliau juga tidak mempunyai maklumat lengkap mengenainya.

Katanya, beliau tidak bersedia untuk mengulas mengenainya kerana dikhuatiri sebarang komen akan disalah tafsir oleh pihak lain.

"Macam mana saya hendak komen jika tiada detail (maklumat terperinci). Tersilap komen, nanti pengguna media sosial akan putar belit kenyataan saya pula.

"Ini (darurat) perkara serius, jadi saya tidak mahu komen berdasarkan komen yang dibuat oleh orang tertentu yang disebar di media sosial," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Kerja Menaiktaraf Lima Bulatan di Jalan Kuching-Kota Samarahan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi kemungkinan Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat bagi mengelakkan pilihan raya susulan Mesyuarat Khas Kabinet pagi semalam.

Menguatkan lagi spekulasi itu apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dilaporkan turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang, petang semalam.

Abang Johari berkata, orang ramai sepatutnya bertenang dan menunggu kenyataan rasmi daripada Istana Negara.

Hari ini, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat untuk bertenang dan tidak panik dengan situasi semasa membabitkan isu pentadbiran negara.

Baginda turut menasihatkan rakyat untuk bersabar dan tidak mencetuskan sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan, keresahan serta menggugat ketenteraman negara, sementara menunggu keputusan Raja-Raja Melayu mengenai cadangan dikemukakan Muhyiddin, semalam.

KUCHING, 23 Okt -- Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada sidang akhbar mengenai Bantuan Khas Sarawakku Sayang di Wisma Bapa Malaysia hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUCHING, 23 Okt -- Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada sidang akhbar mengenai Bantuan Khas Sarawakku Sayang di Wisma Bapa Malaysia hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 2:09 PM