Arang batu di Pelabuhan Tanjung Beruas, Tanjung Kling dimuatkan ke dalam lori untuk diangkut ke Bahau, Negeri Sembilan dengan melalui jalan di Kampung Balik Bukit. Foto HASSAN OMAR
Arang batu di Pelabuhan Tanjung Beruas, Tanjung Kling dimuatkan ke dalam lori untuk diangkut ke Bahau, Negeri Sembilan dengan melalui jalan di Kampung Balik Bukit. Foto HASSAN OMAR
Hassan Omar


Melaka: Penduduk Kampung Balik Bukit, Tanjung Kling di sini menggesa pengurusan Pelabuhan Tanjung Beruas segera membina tembok bagi menghalang habuk arang batu menjejaskan kesihatan mereka.

Penduduk mendakwa, sejak operasi pendaratan arang batu dimulakan di pelabuhan itu beberapa tahun lalu, kesihatan mereka terjejas akibat habuk bahan berkenaan.

Ia sama ada arang batu yang dilonggokkan di pelabuhan itu atau yang diangkut lori melalui jalan di kampung berkenaan.

Menjelaskannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan, berkata, penduduk mendakwa, kesihatan mereka terjejas akibat terhidu habuk berkenaan.

"Selain mengalami batuk, mereka mendakwa mengalami gatal akibat habuk arang batu yang diterbangkan angin dari pelabuhan yang hanya kira-kira 100 meter dari kawasan kediaman.

"Mereka meminta saya mengambil langkah segera bagi mengatasinya dan saya sudah meminta pengurusan pelabuhan membina tembok bagi menghalangnya terbang ke kawasan kediaman," katanya tadi.

Beliau berkata, hasil perbincangan antara beliau, wakil penduduk kampung, pengurusan pelabuhan dan syarikat pengangkutan yang bertanggungjawab membawa arang batu dari pelabuhan ke Bahau, Negeri Sembilan, pihak pengurusan pelabuhan memberi reaksi positif terhadap cadangan membina tembok itu.

Katanya, syarikat pengangkutan memberi reaksi positif terhadap cadangan supaya lori atau treler yang lebih sesuai digunakan untuk mengangkut bahan berkenaan berbanding sedia ada.

"Syarikat itu juga bersetuju untuk mencari tempat parkir treler di lokasi sesuai yang tidak mengganggu penduduk kampung," katanya.

Kontrak pendaratan arang batu dari Indonesia itu dan pengangkutannya dari pelabuhan berkenaan ke Bahau dikatakan dijangka tamat pada pertengahan tahun hadapan, katanya.

Nor Azman berkata, beliau akan membuat aduan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri jika pengurusan pelabuhan dan syarikat pengangkutan gagal mengambil langkah meningkatkan operasi masing-masing demi kesejahteraan kesihatan penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 3:44 PM