GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Samadi Ahmad

Putrajaya: Selesai lebih tiga bulan 'tersadai' di India, sembilan jemaah tabligh selamat pulang ke tanah air melalui penerbangan Air India Express.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, dua daripada mereka menaiki penerbangan Air India Express dari New Delhi, India dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3.30 petang semalam, manakala tujuh lagi menaiki penerbangan Air India Express dari Tiruchirappalli, India dan selamat tiba di KLIA pada jam 6.58 petang semalam.

"Dengan kepulangan sembilan ahli jemaah ini, Kementerian Luar berjaya membawa pulang seramai 170 daripada 189 orang ahli jemaah tabligh yang berada di India.

"Sebelum ini, seramai 161 jemaah tabligh rakyat Malaysia sudah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang dilaksanakan sejak Julai lepas," katanya tadi.

Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 berkata, semua ahli jemaah tabligh yang pulang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di Stesyen Kuarantin, sejajar dengan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata sehingga hari ini, masih terdapat 19 ahli jemaah tabligh yang berada di India di mana daripada jumlah ini, 10 individu yang berada di New Delhi selesai menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan mahkamah, manakala baki sembilan yang lain masih menjalani prosedur perundangan di Bihar, India.

"Penyelarasan usaha membawa pulang mereka sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.

"Kementerian Luar memantau rapat perkembangan ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia di India dan berterusan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara," katanya.

Beliau berkata Kementerian Luar juga akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudahcara urusan pulang baki 19 ahli jemaah tabligh yang masih berada di negara itu.

Kamarudin turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kementerian Kesihatan di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan misi membawa pulang jemaah tabligh rakyat Malaysia di India.

"Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 4:11 PM