SAMBUTAN Maulidur Rasul ditangguhkan di Melaka berikutan peningkatan kes Covid-19. FOTO HASSAN OMAR
SAMBUTAN Maulidur Rasul ditangguhkan di Melaka berikutan peningkatan kes Covid-19. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar

Melaka: Jika ada pasangan merancang 'naik pelamin', niat itu perlu difikirkan semula berikutan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menangguhkan kursus pra perkahwinan di negeri ini mulai semalam, susulan peningkatan kes Covid-19.

Dalam kenyataannya tadi, JAIM memaklumkan kursus dikendalikan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Bentara Sdn Bhd itu ditangguhkan hingga pengumuman berhubung tarikh lain dibuat.

"Berikutan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara, khususnya di Melaka sejak kebelakangan ini, kerajaan negeri memutuskan semua majlis, program, bengkel dan kursus anjuran kerajaan negeri ditangguhkan sebagai langkah membantu mengurangkan penularan wabak itu," katanya.

Bagaimanapun, temuduga perkahwinan masih boleh dibuat tetapi hanya untuk mereka yang bermastautin di Melaka dan tidak pernah menghadiri kursus seumpama itu di negeri lain.

Selain itu, temuduga berkenaan hanya untuk mereka yang bakal bernikah antara November hingga Disember depan.

Sebelum ini JAIM sudah menangguhkan perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri dan kariah di seluruh Melaka yang dijadualkan pada Khamis depan berikutan peningkatan kes pandemik Covid-19.

JAIM sudah mengeluarkan pekeliling kepada pengerusi masjid di negeri ini supaya mematuhi keputusan yang dibuat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Melaka (JKNM) bagi membantu mengurangkan kes terbabit.

Pengarahnya, Datuk Md Azhan Samat dilaporkan berkata, ia sejajar keputusan JKNM yang bukan setakat membabitkan sambutan Maulidur Rasul, malah program lain yang berskala besar.

Sementara itu, sebanyak 30 kes positif Covid-19 masih dirawat di Hospital Melaka tetapi tiada kes baharu dilaporkan setakat hari ini.

Dua kluster aktif ialah Kluster Bukit dan Kluster Umboo manakala sekolah yang masih ditutup kekal satu, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Bekoh, Jasin.

SMK Lubok Cina dan Sekolah Kebangsaan Telok Berembang yang ditutup pada 15 Oktober lalu sudah dibuka semula kelmarin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 4:24 PM