Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Seumur hidup kami tak pernah makan sedap, dibawa berjalan-jalan dan tidur atas tilam tebal sebegini, ini pertama kali," kata Hafisah Kassim, 43, seorang asnaf dari Kampung Bahagia, Kuala Krai, dekat sini.

Hafisah bersama dua anaknya, Norma Ibrahim, 10 dan Mohd Nasrullah, 8, adalah antara enam keluarga asnaf yang menerima tajaan penginapan di sebuah hotel di sini, selain dibawa ke beberapa destinasi sekitar Kota Bharu serta dijamu di restoran.

Program itu ditaja enam badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Gabungan NGO Hadapan Kelantan (GOHEKelate) bersama pihak hotel dan beberapa penaja lain termasuk makanan dan pengangkutan.

Dia yang mendapat tajaan menginap satu hari dua malam di sebuah hotel di sini, ketika ditemui menyifatkan ia satu kenangan manis dan sejuta makna dalam hidup mereka yang hidup dalam serba kedaifan.

"Sejak semalam, kami dijamu makanan yang enak dan tidak pernah termimpi untuk menikmatinya kerana selama ini kami hanya makan nasi putih berkuahkan budu dan sesekali sahaja ada lauk.

"Tidur pula sangat selesa di atas tilam empuk, tebal dan 'ada spring' berbanding tilam nipis yang ada kalanya hanya beralas kain sahaja," katanya dalam nada yang teruja.

Sementara itu, Wakil GOHEKelate, Che Norhayati Mohamed berkata, penganjuran program itu bagi memberi peluang keluarga itu merasai pengalaman berada di luar persekitaran hidup mereka yang daif.

"Ada antara mereka yang langsung tidak pernah keluar ke mana-mana apatah lagi untuk menginap di hotel dan pendapatan seharian hanya mampu untuk kelangsungan hidup sahaja.

CHE NORHAYATI (kanan) bertanya khabar Hafisah bersama dengan anaknya  Norma Ibrahim ketika ditemui di Min House Camp, Kubang Kerian. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
CHE NORHAYATI (kanan) bertanya khabar Hafisah bersama dengan anaknya Norma Ibrahim ketika ditemui di Min House Camp, Kubang Kerian. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Kami memberi peluang untuk mereka merasainya termasuk dibawa berjalan-jalan dan menikmati makanan enak dan rata-ratanya sangat teruja terutama kanak-kanak sekali gus mengundang sebak di hati kami," katanya.

Seorang lagi peserta, Noriza Hussain, 35, tidak terkecuali berasa teruja dan sangat gembira kerana sepanjang hidupnya tidak pernah ke bandar Kota Bharu untuk bersiar-siar, apatah lagi singgah makan di kedai yang dirasakan agak tidak mampu.

"Setiap hari hidup saya hanya keluar mencari besi buruk dalam tong sampah sekitar Tumpat untuk menyara hidup bersama empat anak yang masih kecil.

"Ada peluang sebegini, memang sangat teruja dan ada juga timbul rasa sedih apabila memikirkan bahawa saya tidak mampu menyediakan semua itu sebaik melihat kegembiraan di wajah anak," katanya yang menetap di Kampung Baru Nelayan, Tumpat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 5:21 PM