ANNUAR Musa ditemui pada sidang media selepas meninjau Program Pasar Bergerak My Grocer@Wilayah di PPR Kg Air Panas, Setapak. FOTO BERNAMA
ANNUAR Musa ditemui pada sidang media selepas meninjau Program Pasar Bergerak My [email protected] di PPR Kg Air Panas, Setapak. FOTO BERNAMA
Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: Adalah tidak adil untuk menilai kewajaran langkah kerajaan dalam melaksanakan pengisytiharan darurat memandangkan keputusan rasmi berhubung perkara itu belum pun dibuat setakat ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, sebarang keputusan yang akan diambil kerajaan termasuklah bagi pengisytiharan darurat semestinya berasaskan kepada kepentingan rakyat dan mengikut jalur perundangan sedia ada.

Malah kata beliau, ia juga harus mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah sebelum boleh dilaksanakan.

"Saya percaya baik kerajaan mahupun pembangkang memahami masalah yang sedang dihadapi, ia adalah masalah semua dan kita tidak mungkin akan berlaku adil sekiranya penilaian dibuat berasaskan kepada jurang politik.

"Satu daripada cara untuk berlaku adil adalah dengan menunggu dulu, (kerana) kerajaan belum memutuskan apa-apa, ia memerlukan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

"Sekiranya perkara itu belum pun dilaksanakan dan kita pula sudah menjatuhkan hukum kerajaan ingin jadi diktator, Perdana Menteri ingin menyelamatkan diri, saya fikir ini tidak adil," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media berkaitan kenyataan Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, yang mengaitkan pengisytiharan darurat sebagai langkah kerajaan menjadi diktator jika benar ia ingin dilaksanakan.

Menurut Annuar, antara perkara yang dibayangkan orang awam apabila soal darurat dibangkitkan adalah perintah berkurung seperti mana peristiwa 13 Mei 1969.

Oleh itu, kata beliau, semua perkara berkaitan pelaksanaannya pasti akan diumumkan bersama bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan lanjut mengenai jenis darurat terbabit.

"Kalau ditakdirkan perkara itu (darurat) dilakukan, ia tidaklah keluar dengan satu ayat 'maka pada hari ini kita mengisytiharkan darurat', tidak begitu.

"Tentulah perlu ada penjelasan darurat itu untuk apa, dalam bentuk macam mana, orang kena perintah berkurung ke, askar ke memerintah, perdana menteri ke jadi diktator, itu semua mesti dijelaskan sebab ada berbagai bentuk darurat," katanya.

Tambah Annuar, terdapat 32 negara sudah pun mengisytiharkan darurat namun Malaysia belum berbuat demikian berikutan merasakan semuanya masih boleh diurus dengan cara biasa.

"Buat masa ini, tidak ada apa-apa pengisytiharan dan biarlah perkara ini terus dibincangkan di pelbagai peringkat, yang penting kita harap apa juga tindakan biarlah keselamatan dan nyawa rakyat didahulukan.

"(Tetapi) itupun saya tidak kata kerajaan akan isytihar darurat. Ini adalah situasi yang tidak mudah. Perdana Menteri mempunyai pelbagai pilihan, beliau bertanya kepada kita, berunding, berbincang dan kita tiada satu jalan keluar yang mudah," katanya lagi.

Terdahulu, Annuar membuat tinjauan operasi program [email protected] di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Setapak di sini.

Program terbabit diperkenalkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyediakan barangan keperluan dapur pada harga rendah buat penduduk di 178 kawasan perumahan kos rendah di sekitar Kuala Lumpur.


  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 5:27 PM