ISTANA Negara. FOTO BERNAMA
ISTANA Negara. FOTO BERNAMA
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Satu mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu dijangka akan diadakan esok bagi membincangkan beberapa cadangan yang dipersembahkan oleh kerajaan terutamanya membabitkan penularan pandemik Covid-19.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk sembah taklimat cadangan yang sudah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri semalam.

Sumber memaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah akan memanggil satu sidang khas mesyuarat Majlis Raja-Raja, antara lain akan membincangkan tentang beberapa cadangan termasuk kemungkinan 'darurat kesihatan' untuk menangani peningkatan penularan Covid-19.

Menerusi kenyataan Istana Negara, Al-Sultan Abdullah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara untuk berbincang dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri.

Sementara itu, Pakar Perlembagaan dan Perundangan Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, tujuan Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil satu mesyuarat khas berkenaan pastinya untuk mendapatkan pandangan daripada sembilan Raja-Raja Melayu berhubung cadangan kerajaan.

"Ia sudah menjadi kewajipan Baginda dan Baginda boleh memanggil sidang khas berkenaan pada bila-bila masa yang dirasakan perlu untuk membincangkan satu keputusan yang besar.

"Jika benar antara cadangan Perdana Menteri adalah berkaitan dengan 'darurat kesihatan', Baginda perlu mendapatkan maklumat yang secukupnya dan mendapat pandangan daripada Majlis Raja-Raja sebelum satu keputusan dibuat.

"Perlu diingatkan jika perintah ini dilaksanakan, Baginda akan mengetuai pemerintahan di samping beberapa pemimpin kanan yang akan melaksanakan tugas eksekutif," katanya.

Beliau berkata, Baginda boleh untuk menerima cadangan darurat berkenaan atau menolaknya jika Baginda merasakan tidak wujud keperluan ke arah pengisytiharan darurat seperti yang dikhabarkan.

"Kuasa pengumuman darurat ini sememangnya terletak kepada Yang di-Pertuan Agong dan Baginda boleh untuk mengisytiharkan atau menolak berdasarkan kepada budi bicara Baginda," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 5:32 PM