KEMPEN derma darah khas di Stadium Bandaraya Pulau Pinang bagi membantu keperluan tabung darah dan rawatan lagenda bola sepak negara, Mohamad Bakar. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
KEMPEN derma darah khas di Stadium Bandaraya Pulau Pinang bagi membantu keperluan tabung darah dan rawatan lagenda bola sepak negara, Mohamad Bakar. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Inisiatif Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Pulau Pinang (EX-PENANG) menganjurkan kempen derma darah khas buat legenda bola sepak negara, Datuk Mohamad Bakar sewajarnya dicontohi.

Kempen berkenaan diadakan susulan keadaan kesihatan Mohamad yang kurang memuaskan dan kini dirawat di Wad A2 Hematologi Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini.

Presiden EX PENANG, Radzuan Putah berkata, inisiatif itu bagi mengumpul tabung darah jenis A+, B+, AB+ dan O+ seperti yang diperlukan Mohamad.

Katanya, penganjuran kempen derma darah berkenaan mendapat kerjasama Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (Penang FA) dan Hospital Kepala Batas.

"Selepas mendapat khabar mengenai Mohamad dan keperluan darah jenis itu, kami tampil membantu menganjurkan kempen darah ini di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, di sini.

"Kita jemput pemain negeri dan kebangsaan, lama mahupun baharu bagi bersama-sama berganding bahu menyumbangkan darah kepada Mohamad," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Hadir sama, bekas pemain bola sepak negara yang juga legenda Penang FA, Datuk Shukor Salleh dan Salahuddin Che Rose.

Sementara itu, anak Mohamad, Siti Mardhiana ketika dihubungi berkata, keadaan kesihatan bapanya yang berusia 75 tahun semakin merosot.

"Ayah menghidap penyakit berkaitan dengan kegagalan sumsum tulang bagi menghasilkan darah. Keadaannya kini semakin lemah," katanya.

Mohamad pernah membarisi skuad bola sepak bagi Sukan Olimpik Munich pada 1972.

Difahamkan, penyakit itu tidak mempunyai rawatan khusus dan memerlukan darah dimasukkan ke dalam badan sebanyak tiga ke empat pain dalam tempoh dua kali sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 6:47 PM