Isma Ismail dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan langkah alternatif merawat pesakit Covid-19 yang tidak bergejala di rumah sekiranya katil di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 tidak mencukupi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang tidak bergejala dipertimbangkan untuk menjalani rawatan di rumah secara simptomatik.

Bagaimanapun, menurutnya, buat masa ini cadangan itu tidak perlu lagi dilaksanakan.

Katanya, pesakit yang dimasukkan ke hospital sebelum ini turut diasingkan walaupun tidak bergejala.

"Jadi, jika hendak ditempatkan di rumah perlu ada ruang dan tempat pengasingan supaya tidak menjangkiti.

"Ia belum dilaksanakan di negara ini tetapi di negara lain sudah ada yang melaksanakannya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

"Kita pertimbangkan perkara ini sebagai langkah alternatif...sebagai contoh sekiranya katil di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 tidak mencukupi barulah akan laksanakannya namun buat masa ini tidak perlu," katanya pada sidang media Covid-19, hari ini.

Mengulas mengenai kemampuan kapasiti merawat pesakit Covid-19 di Sabah, Dr Noor Hisham berkata, kemampuan mencukupi dengan setakat ini sembilan hospital dikenal pasti dan juga ruang yang ada boleh diubah suai menjadi Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19.

"Kita juga ada pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 yang sama seperti di MAEPS (Taman Ekspo Pertanian Malaysia) kerana KKM sudah siap siaga menghadapi gelombang ketiga.

"KKM memantau dengan teliti keperluan di hospital, katil, peralatan perubatan, alat bantuan pernafasan dan sebagainya, di mana setakat ini tidak ada kekurangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 7:48 PM