TAMAN Eko Rimba Lubuk Yu, Maran. FOTO Arkib NSTP
TAMAN Eko Rimba Lubuk Yu, Maran. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Pekan: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengesahkan tiada aktiviti pembalakan atau kerja perlombongan haram yang dijalankan di Taman Eko Rimba Lubuk Yu, Maran kira-kira 100 kilometer dari sini, sehingga mengakibatkan air sungai kawasan itu keruh.

Pengarahnya, Mohd Sani Mat Daud berkata, ia susulan lawatan bersepadu pihaknya bersama dua agensi berkaitan Khamis lalu, bagi mengenal pasti punca kekeruhan air sungai berkenaan.

"Kita menelusuri sungai di Lubuk Yu itu sejauh 13 kilometer bersama Jabatan Perhutanan Pahang dan Pejabat Tanah Maran, dan hasilnya kita mendapati tiada kerja pembalakan atau perlombongan di sekitar kawasan itu.

"JAS juga sudah mengambil sampel air sungai itu untuk diuji ketika tahap kekeruhannya masih tinggi bagi memastikan kandungannya tidak tercemar," katanya pada sidang media selepas Program Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik (E-Waste) sempena Hari Alam Sekitar di sini hari ini.

Rabu lalu, Bernama melaporkan air sungai di Lubuk Yu keruh sehingga menyebabkan beberapa pengunjung yang datang ke destinasi pelancongan menarik itu kecewa, selain menimbulkan tanda tanya kerana rata-rata penduduk setempat tidak mengetahui punca kejadian.

Dalam perkembangan lain, Mohd Sani menyaran masyarakat supaya melupuskan bahan buangan elektrik dan elektronik dengan betul bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar.

"Sisa elektronik ini mengandungi bahan berbahaya dan berharga yang perlu dikitar semula.

"Jika tidak bahan buangan itu boleh bertindak balas apabila terkena air atau asid hingga menyebabkan pelepasan gas dan sebagainya.

"JAS akan berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai hal ini dari semasa ke semasa selain melantik syarikat bagi menguruskan sisa buangan ini dengan baik tanpa menjejaskan alam sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 7:49 PM