Keadaan kereta yang dinaiki mangsa selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, hari ini. Foto Ihsan JBPM
Keadaan kereta yang dinaiki mangsa selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, hari ini. Foto Ihsan JBPM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Lelaki maut selepas kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal sebelum hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di Jalan Syed Putra di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada 5.17 petang sebelum menghantar jentera ke tempat kejadian.

Komander Operasi Kanan JBPM Kuala Lumpur Hisham Hamzan berkata, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 13 anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah motosikal.

"Kereta yang dipandu mangsa remuk dan terdapat empat mangsa iaitu pemandu dan penumpang kereta, penunggang dan pembonceng motosikal.

"Mangsa berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba dan wanita berusia 43 tahun yang memandu kereta mengalami kecederaan agak parah serta dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Seorang penumpangnya meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hisham berkata, penunggang dan pembonceng motosikal pula mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 8:51 PM