Kemalangan yang meragut nyawa Muhammad Badrul Hisyam di Manjalara, Kepong di Kuala Lumpur, petang semalam. (Gambar kecil) Muhammad Badrul Hisyam. Foto Ihsan Roslina A Rashid
Kemalangan yang meragut nyawa Muhammad Badrul Hisyam di Manjalara, Kepong di Kuala Lumpur, petang semalam. (Gambar kecil) Muhammad Badrul Hisyam. Foto Ihsan Roslina A Rashid
Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: "Lagi empat hari nak sambut hari jadi tetapi dia pergi buat selama-lamanya meninggalkan isteri dan anak yang bakal lahir tak lama lagi," kata Roslina A Rashid, 41.

Roslina, ibu kepada penghantar makanan, Muhammad Badrul Hisyam Mohd Saufi, 21, yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori di Manjalara, Kepong di sini, petang semalam.

Menurutnya, Muhammad Badrul ada memberitahu mahu membeli barang keperluan bayinya yang dijangka dilahirkan pada Mac tahun depan, esok, namun hasratnya itu tidak kesampaian.

"Arwah juga tidak menunjukkan tanda-tanda akan meninggalkan kami sekeluarga tetapi dia begitu teruja untuk membawa isterinya membuat pemeriksaan kandungan dan beli keperluan bayinya.

"Tapi Allah lebih mengetahui, lagi empat hari nak sambut hari jadinya, menjadi majlis tahlil untuk Badrul pula," katanya.

Menurutnya, dia meminta jasa baik orang ramai untuk mendoakan dan dapat sedekahkan Al-fatihah buat anaknya itu.

"Perginya sangat mulia pada hari Jumaat ketika sedang mencari rezeki untuk isteri dan bakal anak pertamanya.

"Terima kasih banyak kepada rakan-rakan penghantar makanan anak saya yang sanggup membantu dan memberi sumbangan kepada keluarga kami terutamanya isteri arwah," katanya.

Menurutnya, Muhammad Badrul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves di sini, hari ini.

Terdahulu, tular video dan gambar membabitkan kemalangan penghantar makanan dan lori di Jalan Besar Kepong.

Menerusi video itu juga, dilihat ramai penghantar makanan berkumpul membantu mendapatkan dan menghubungi keluarga Muhammad Badrul.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 9:39 PM