MUHAMMAD Fahmi (tengah) mengikuti latihan di Royal Military College Saint Jean, Kanada sejak 2018. FOTO Ihsan Muhammad Fahmi Mohd Yunus
MUHAMMAD Fahmi (tengah) mengikuti latihan di Royal Military College Saint Jean, Kanada sejak 2018. FOTO Ihsan Muhammad Fahmi Mohd Yunus
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: "Memang agak sukar untuk menyaingi keupayaan tentera Kanada yang jauh lebih kuat kerana saiz fizikal mereka besar.

"Tambahan pula, mereka suka menambah jarak kilometer (km) ketika latihan ruck march (jalan sejauh 19 kilometer selama tiga jam dengan membawa senapang dan bebanan 40 kilogram (kg)," kata Kadet Udara Muhammad Fahmi Mohd Yunus, 21.

Itu antara cabaran dilalui Muhammad Fahmi dalam menjalani latihan di Royal Military College Saint Jean, Kanada.

Muhammad Fahmi mencipta sejarah negara apabila menjadi kadet pertama Malaysia menjalani latihan di kolej ketenteraan berkenaan selama empat tahun sejak Julai 2018.

Menurutnya, dia terpaksa berjalan lebih pantas sepanjang ruck march bagi memastikan tidak tertinggal daripada kumpulan.

"Langkah mereka besar dan jalan juga lebih pantas. Saya perlu meningkatkan keupayaan diri untuk menyaingi mereka.

"Ini kerana saya tidak mahu membiarkan mereka melihat saya seperti lemah, sebaliknya membuktikan saya juga mampu melakukan latihan dengan baik.

"Jika tiba-tiba rasa sedih, saya segera memotivasikan diri dengan cara mengingatkan diri sendiri iaitu saya akan memalukan negara jika tidak memanfaatkan peluang ini sebaiknya," katanya.

LATIHAN ruck march yang dilalui Muhammad Fahmi dengan membawa senapang dan bebanan 40 kilogram sejauh 19 kilometer selama tiga jam. FOTO Ihsan Muhammad Fahmi Mohd Yunus
LATIHAN ruck march yang dilalui Muhammad Fahmi dengan membawa senapang dan bebanan 40 kilogram sejauh 19 kilometer selama tiga jam. FOTO Ihsan Muhammad Fahmi Mohd Yunus

Kata Muhammad Fahmi, cabaran lain ialah menjalani latihan pada musim sejuk selama tiga bulan.

"Ribut salji yang melanda wilayah Quebec menyebabkan suhu jatuh mencecah -38 darjah celcius.

"Cuaca terlalu sejuk menyebabkan dapur yang digunakan untuk memanaskan badan beku. Ada pelatih mengalami hipotermia (keadaan suhu badan jauh lebih rendah daripada paras normal) dan gigitan fros.

"Ketika itu, saya takut dan risau kerana bimbang badan tidak mampu menahan kesejukan melampau, ditambah pula tiada api untuk memanaskan badan," katanya.

Namun begitu, Muhammad Fahmi berkata, terlalu banyak pengalaman berharga diperoleh walaupun baru dua tahun menjalani latihan berkenaan.

Antaranya latihan terjunan ke dalam tasik beku ketika Blizzard Nordique Exercise 20.

Ditanya berkaitan ciptaan inovasi yang akan dihasilkan, Muhammad Fahmi berkata, dia bercadang mencipta senjata api dan peluru yang tidak mendatangkan bahaya kepada tentera ketika latihan.

"Berdasarkan Konvensyen Geneva Protokol IV, senjata yang tidak menyebabkan kematian boleh digunakan, tetapi wajib mematuhi peraturan dan undang-undang.

"Penggunaan senjata ini dalam latihan memberi peluang kepada tentera merasai pengalaman sebenar berperang dan satu cara meningkatkan keupayaan latihan ketenteraan untuk generasi hadapan," katanya.

FOTO Ihsan Muhammad Fahmi Mohd Yunus
FOTO Ihsan Muhammad Fahmi Mohd Yunus

Berkongsi perasaan apabila terpilih menjalani latihan di Royal Military College Saint Jean, katanya, dia seolah-olah tidak percaya apabila dapat mewakili Malaysia kerana ramai calon yang hebat.

"Membawa Jalur Gemilang ke pusat latihan di Kanada adalah beban dan tanggungjawab yang berat.

"Bagaimanapun, jangan sekalipun menunjukkan kelemahan diri dan buktikan kita tidak sama seperti orang lain yang hanya menyarung uniform tentera. Lakukan latihan dengan sepenuh hati," katanya.

Nasi goreng kampung pula adalah makanan tempatan yang sentiasa dirinduinya sepanjang berada di Kanada.

"Mi segera di sini juga sangat berbeza dengan Malaysia daripada segi keenakannya.

"Saya bersyukur kerana berkenalan dengan beberapa keluarga Malaysia yang menetap di negara ini. Jadi mudah untuk saya melepaskan keinginan terhadap makanan tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 8:01 AM