GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Bendera Johor dikibarkan separuh tiang, hari ini bagi menghormati kemangkatan anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah iaitu Pengiran Muda Abdul Azim.

Pengumuman itu dimaklumkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Mohd Noh Ibrahim,menerusi kenyataan, semalam.

"Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar,bendera Johor dan bendera daerah hendaklah dikibarkan separuh tiang pada Ahad, 25 Oktober.

"Ia bagi menghormatkan kemangkatan Almarhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji Abdul Azim Ibni Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah," katanya dalam kenyataan berkenaan.

Rakyat Brunei semalam dikejutkan dengan berita duka daripada pihak Istana Brunei yang memaklumkan kemangkatan Pengiran Muda Abdul Azim.

Menerusi laporan Radio Televisyen Brunei, putera berusia 38 tahun itu mangkat pada 10.08 pagi waktu tempatan dan dimakamkan di Kubah Makam Diraja selepas Asar.

Pemerintah Brunei memerintahkan rakyatnya mengibarkan bendera setengah tiang dan berkabung selama tujuh hari mulai hari ini .

Punca pemergian putera kedua Sultan Brunei itu masih belum diketahui.

Berita berkaitan:

  • Anakanda Sultan Brunei, Pengiran Muda Abdul Azim mangkat
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 10:43 AM