SEBAHAGIAN daripada 60 penunggang motosikal yang diarahkan menolak motosikal masing-masing lebih tiga km untuk sampai ke IPD Taiping. FOTO IPD Taiping
SEBAHAGIAN daripada 60 penunggang motosikal yang diarahkan menolak motosikal masing-masing lebih tiga km untuk sampai ke IPD Taiping. FOTO IPD Taiping
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Seramai 60 penunggang motosikal terpaksa menolak kenderaan mereka lebih tiga kilometer (km) untuk sampai ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Taiping) semalam.

Ia susulan penahanan mereka berusia antara 14 hingga 20 tahun dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Tekkah, Assam Kumbang berdekatan Lapangan Terbang Terkah, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, operasi berkenaan bermula jam 5 petang dan berakhir 10 malam.

Katanya, pihaknya menyita 23 motosikal dan mengeluarkan 60 saman selepas pemeriksaan dilakukan ke atas 84 motosikal.

"Saman turut dikeluarkan terhadap (pengguna) empat kereta yang turut diperiksa dalam operasi ini. Secara keseluruhan sebanyak 107 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Majoriti daripada kesalahan yang dilakukan adalah tiada lesen meliputi 27 kesalahan, nombor pendaftaran (21), cermin sisi (19), topi keledar (12), aksesori (11), ekzos (10) dan lesen tamat tempoh (7)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 1:13 PM