GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Semua kuliah agama di masjid dan surau di Kelantan termasuk kelas al-Quran ditangguhkan serta merta bermula hari ini sehingga 27 Oktober ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pendekatan itu adalah sebagai langkah bagi membendung penularan Covid-19.

Beliau berkata, perkara itu mendapat perkenan Sultan Muhammad V.

"Pendekatan ini diambil memandangkan sejak akhir-akhir ini berlakunya peningkatan dalam kes Covid-19 di seluruh negara termasuk di Kelantan.

"Justeru itu, MAIK mengarahkan semua kuliah agama sama ada Kuliah Subuh, Kuliah Maghrib, Kuliah Dhuha dan kuliah-kuliah lain termasuk kelas-kelas al-Quran ditangguhkan serta merta.

"Manakala solat fardhu dan solat sunat boleh dilaksanakan seperti biasa dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19 yang dikeluarkan pihak MAIK sebelum ini," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau juga mendoakan agar wabak Covid-19 segera berakhir dan diangkat oleh Allah SWT.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 1:39 PM