PROF Madya Dr Shamrahayu. FOTO arkib NSTP
PROF Madya Dr Shamrahayu. FOTO arkib NSTP
Hayati Ibrahim dan Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Undang-undang sedia ada tidak akan terhapus walaupun darurat dilaksanakan, kata Pakar Perlembagaan Persekutuan Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.

Beliau berkata, kesan pengisytiharan darurat adalah Perlembagaan Persekutuan membenarkan suatu undang-undang yang tidak selaras dengannya.

Katanya, secara umumnya pengisytiharan ini boleh meletak situasi undang-undang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, bagaimanapun ia juga boleh mengekalkan undang-undang biasa.

Shamrahayu turut menjelaskan, secara umum perkataan darurat itu boleh mendatangkan ketakutan kepada rakyat, namun jika dilihat dalam situasi semasa negara, ia dalam keadaan boleh dikawal.

Bagaimanapun, katanya, ada sesetengah perkara yang memerlukan perundangan dalam jangka masa pendek dan panjang yang tidak boleh diselesaikan dengan undang-undang biasa.

"Darurat itu bergantung kepada keadaan. Kalau kita kata darurat yang berlaku pada 1948, kontroversi 1963, 1964 atau darurat pada 1969, ini akan merunsingkan.

"Tetapi pernah berlaku darurat yang sebenarnya tidaklah sampai tahap anggota tentera keluar beramai-ramai dan menggantikan pentadbiran atau menjaga keselamatan dalam negara.

"Keadaan tertentu itu dilihat pada situasinya kerana ada dua jenis darurat, satunya di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, satu lagi darurat bencana alam yang dilakukan di bawah pentadbiran Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang juga dipanggil darurat kecil," katanya ketika ditemubual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di saluran RTM 1, hari ini.

Namun, Shamrahayu berkata, keadaan itu tidak sama dengan Covid-19 kerana pandemik ini berlaku di seluruh dunia serta bahaya, malah kadar kebolehjangkitan di dalam negara semakin tinggi.

"Jadi kemungkinan untuk kita menerima undang-undang yang lebih mampu menanganinya (Covid-19). Kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga perlu diambil kira, mungkin kita sebagai masyarakat awam tidak mahu 'dipanikkan' oleh kerajaan atau penjawat awam daripada KKM itu sendiri.

"Tetapi apa yang kita nampak daripada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan menunjukkan keadaan sudah sampai tahap kepenatan dan sebagainya dalam kalangan petugas barisan hadapan," katanya.

Beliau yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata, apa yang penting rakyat mahu ketenteraman sekiranya Yang di-Pertuan Agong berpuas hati dengan apa-apa cadangan, pembentangan atau berkaitan perkara yang dirujuk kerajaan bagi pengisytiharan darurat ini.

"Ini kerana kita mahu satu keadaan yang boleh menjamin keselamatan rakyat, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan negara... Itu yang penting, jadi kita tunggu apa yang akan diumum kerajaan atau Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Beliau berkata, memandangkan perkataan darurat itu menakutkan rakyat, jadi adalah penting bagi institusi diraja dan kerajaan untuk memberi jaminan bahawa kepentingan rakyat, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan negara terus terjamin.

Malah, katanya, Perlembagaan Persekutuan juga mengatakan semua institusi hendaklah melaksanakan amanah dan menjadi kerajaan bertanggungjawab serta tidak mengambil peruntukan dalam perlembagaan sebagai satu 'constitutional convenient'.

"Jadi, kita harap kerajaan tidak menggunakan peruntukan itu untuk keselesaaan kerajaan, yang penting dan objektif utama adalah menjaga kemashalatan negara dan rakyat.

"'Constitutional Convenient' ini akan diteliti secara matang dan bijaksana oleh institusi diraja supaya peruntukan perlembagaan ini tidak diambil hanya untuk keselesaan sesetengah pihak," katanya.

Justeru, beliau berkata, raja berperlembagaan menjadi 'filter' supaya tidak berlaku 'constitutional convenient' ini.

Tiga asas Yang Dipertuan Agong boleh membuat pengisytiharan darurat:

  • Keselamatan negara
  • Kehidupan ekonomi
  • Ketenteraman awam

    Keseimbangan dalam sistem Raja Berperlembagaan

  • Yang di-Pertuan Agong adalah ketua utama negara mempunyai kedudukan istimewa
  • Mempunyai imuniti dalam hal-hal rasmi dan tidak boleh didakwa di mahkamah melainkan dalam mahkamah khas raja-raja
  • Bagi rakyat pula, setiap individu mendapat pelbagai hak dari segi perlindungan undang-undang dan kedudukan sebagai warganegara

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 1:48 PM