GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Tertarik dengan siaran langsung penjualan emas murah dilakukan sebuah syarikat jualan barangan kemas di Facebook menyebabkan suri rumah kerugian RM4,720.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 39 tahun itu yang berminat untuk membeli barangan kemas ditawarkan syarikat terbabit meninggalkan nombor telefonnya kepada penjual.

"Mangsa kemudian menerima pelawaan daripada satu individu melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan gelang tangan emas yang murah.

"Dia (mangsa) kemudian berkomunikasi dengan seorang perempuan yang mendakwa dirinya kakitangan syarikat emas dan memujuk mangsa untuk membeli gelang tangan emas yang dijual," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa yang berminat dengan tawaran itu membuat satu transaksi pindahan wang sebanyak RM4,720 ke dalam satu akaun bank diberikan suspek.

"Mangsa akhirnya sedar ditipu selepas kakitangan (syarikat) terbabit gagal dihubungi dan dia membuat laporan polis semalam untuk siasatan lanjut," katanya memberitahya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 2:17 PM