GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Demi meneruskan dakwah tidak formal ketika penularan pandemik, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengambil inisiatif melaksanakan pengajian kitab secara maya menerusi program 'Madrasah Ulama'.

Program yang bermula Jumaat lalu sehingga hari ini adalah sebahagian daripada inisiatif dua agensi agama berkenaan memberi bimbingan kepada orang awam menerusi pengajian berkitab.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah berkata, program Madrasah Ulama ini akan diteruskan pada siri seterusnya selepas melihat sambutan yang amat menggalakkan.

"Sebenarnya, program Madrasah Ulama ini sudah dimulakan beberapa siri sebelum ini menerusi masjid dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan, namun kali ini kita melaksanakan pengajian secara maya.

"Insya-Allah kita akan meneruskan siri program Madrasah Ulama ini dengan pengajian pelbagai lagi jenis kitab yang masyhur dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), sekali gus memberi bimbingan kepada orang awam serta golongan penuntut untuk menimba ilmu.

"Inisiatif ini adalah satu daripada usaha antara PMWP bersama Jawi dalam meneruskan dakwah walaupun pendekatan konvensional iaitu pengajaran di masjid dan surau agak terhad kerana situasi pandemik," katanya kepada Harian Metro selepas merasmikan program berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan baharu menggunakan teknologi semasa itu dilaksanakan supaya agenda dakwah dapat diteruskan tanpa mengira masa serta keadaan.

Katanya, program Madrasah Ulama itu memberi fokus kepada tiga subjek utama iaitu Feqah, Akidah dan Tasawuf menerusi pengajian kitab muktabar dan perkara itu akan diteruskan untuk siri akan datang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 2:35 PM